
PENYELENGGARAAN SEKOLAH LAMA JADI KEUTAMAAN – EXCO
SERI NEGERI 16 April – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan sekolah terus terjamin, khususnya apabila melibatkan risiko kebakaran terutama pada musim kemarau.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kebakaran yang berlaku di sekolah boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk kecuaian individu serta masalah fizikal bangunan seperti pendawaian lama.
Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering ketika musim kemarau juga berpotensi meningkatkan risiko kebakaran akibat percikan api.
“Sekolah merupakan aset kerajaan yang perlu dipelihara. Punca kebakaran ini boleh berlaku sama ada disebabkan kecuaian individu atau faktor fizikal seperti struktur bangunan dan pendawaian.
“Jabatan Pendidikan Negeri melalui bahagian pembangunan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa menjalankan pemeriksaan di sekolah-sekolah, khususnya bangunan lama bagi memastikan pendawaian ditukar dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka Siri 2 Tahun 2026 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini tiada isu serius membabitkan keselamatan sekolah di Melaka, namun pemantauan dan penyelenggaraan tetap dilaksanakan secara berterusan.
“Setakat ini tiada masalah besar, namun prosedur pemeriksaan tetap dijalankan dan setiap aduan daripada pihak sekolah akan diberi perhatian.
“Kerja penyelenggaraan dilakukan setiap tahun tetapi dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan terutama melibatkan sekolah lama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


