
‘HEBAT’ DEKATKAN RAKYAT DENGAN PEMIMPIN, PERMUDAH PENYELESAIAN ADUAN
SERI NEGERI 16 April – Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) terus menjadi platform berkesan merapatkan rakyat dan kepimpinan negeri serta mempercepatkan penyelesaian isu secara telus.
Rata-rata pengunjung yang hadir menyifatkan program tersebut sebagai medium terbaik untuk menyuarakan masalah serta mendapatkan maklum balas segera daripada kepimpinan Kerajaan Negeri.
Bagi Khatimah Khamal, 35, dari Bukit Rambai, kehadirannya ke program itu membuahkan hasil apabila beberapa aduan berkaitan persatuan dan urusan peribadi berjaya disalurkan terus kepada pihak berkaitan.
“Saya berpeluang berjumpa beberapa Exco Kerajaan Negeri dan mereka sangat memberi kerjasama serta maklum balas yang baik. Hasil pertemuan sangat memuaskan dan ada yang terus diselesaikan.
“Program seperti ini memang mendekatkan rakyat dengan wakil rakyat selain memastikan setiap aduan ditangani secara telus,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program HEBAT Negeri Melaka Siri 2 Tahun 2026 di Seri Negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, Munirah Mortaza, 37, dari Bukit Baru berkata, program HEBAT memberi peluang kepadanya bertemu kepimpinan negeri bagi memohon sokongan pendidikan buat anaknya yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya tahu mengenai program ini melalui ‘Facebook’ dan terus datang untuk berjumpa sendiri. Sebagai ibu, saya harap anak dapat peluang melanjutkan pelajaran, lebih-lebih lagi dia bercita-cita menjadi doktor.
“Program begini sangat baik kerana rakyat boleh terus berjumpa pemimpin dan menyampaikan hasrat mereka tanpa perantara,” katanya.
Dalam pada itu, Sapihi Abu, 58, dari Klebang yang pernah menghadiri program sama sebelum ini berkata, HEBAT membuka ruang kepada rakyat untuk mendapatkan perhatian terhadap isu berlarutan, termasuk masalah perumahan.
“Saya datang untuk membuat aduan berkaitan rumah yang belum diserahkan kunci hampir 10 tahun. Saya harap melalui pertemuan dengan pihak berkaitan, isu ini dapat diselesaikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

