
WRUR SEMAKIN RELEVAN, BELA NASIB RAKYAT MEMERLUKAN
GADEK 16 April – Penganjuran Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kini memasuki edisi ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, bukan lagi sekadar program untuk mendengar aduan atau permasalahan rakyat.
Kini WRUR menjadi platform membina aspirasi rakyat Melaka yang menginginkan suasana kehidupan mampan, kondusif dan makmur daripada segi ekonomi hasil kecekapan pentadbiran kerajaan yang stabil.
Keberkesanan WRUR terbukti apabila rakyat dalam kesulitan seluruh negeri ini dibantu untuk menikmati kehidupan lebih baik termasuk menerusi bantuan baik pulih atau bina baharu kediaman sudah uzur.
Terbaharu kediaman daif menjadi tempat berteduh Amran Sulaiman, 59, mengalami masalah penglihatan dan isteri Rozimah Abdullah, 57, mendapat perhatian Kerajaan Negeri.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata susulan lawatan dilakukan bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Kerajaan Melaka bersetuju untuk membina baharu kediaman pasangan berkenaan.
“Hasil lawatan tadi saya melihat sendiri keadaan atap yang bocor, papan lantai yang reput dan banyak lagi kerosakan lain menyebabkan rumah pusaka menjadi tempat pasangan ini berteduh tidak sesuai untuk dihuni.
“Kita akan menyegerakan proses membina kediaman baharu mereka menerusi peruntukan berjumlah RM70,000. Namun kediaman asal yang bercirikan rumah Melaka akan dipelihara kerana memiliki nilai warisan yang tinggi.
“Insya-Allah kita akan teruskan usaha seperti ini, saya tidak mahu ada rakyat Melaka yang tinggal di rumah yang tidak sesuai untuk dihuni. Rumah umpama syurga bagi kita semua di dunia, jadi Kerajaan Negeri akan terus beri perhatian dan bantu,” katanya ketika ditemui selepas melawat kediaman pasangan berkenaan di Kampung Seri Tanjung, Tanjung Rimau, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Yang turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Timbalan Pengah Eksekutif (Pembangunan) LPM Mohd Salleh Hamidon.
Rais yang juga Adun Paya Rumput berkata, komitmen semua agensi dan Jabatan Kerajaan juga melancarkan lagi urusan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya akan meminta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak agar proses bina baharu kediaman ini dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

