
ULANG TAHUN KE-23 BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH DISAMBUT PENUH KESYUKURAN
PENGKALAN BATU 17 April – Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah diraikan dalam suasana sederhana namun penuh bermakna menerusi penganjuran Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana di Masjid Al-Azim.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan sederhana Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu untuk menyantuni rakyat dan menghargai semua pihak berkepentingan.
Katanya, majlis itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada sekolah, maahad tahfiz serta institusi keagamaan dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Alhamdulillah, walaupun kita menyambut ulang tahun ini secara sederhana, MBMB tidak pernah melupakan ‘stakeholder’ termasuk sekolah-sekolah, institusi tahfiz dan masyarakat setempat.
“Ini adalah tanda penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada pembangunan Bandaraya Melaka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah Tahun 2026 di Masjid Al-Azim, di sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, bahkan menjadi platform mengeratkan hubungan antara MBMB dengan komuniti melalui pengisian kerohanian dan kebajikan.
Tambahnya, Rais turut menegaskan bahawa hasil yang diperoleh MBMB melalui cukai dan bayaran daripada rakyat akan terus disalurkan semula kepada masyarakat dalam bentuk program pembangunan sahsiah dan modal insan.
“Sambutan ulang tahun ke-23 MBMB kali ini jelas mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti sambil memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


