Sorting by

×

‘MERIAHNYA BERAYA!’ SERLAH KEUNIKAN PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 17 April – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Portfolio Pelancongan bertemakan ‘Meriahnya Beraya! Mana Lagi Melaka Ler’ menghimpunkan pemain industri pelancongan negeri dalam suasana penuh meriah dan warna-warni.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis julung kali diadakan itu bukan sahaja platform meraikan sambutan hari raya, malah turut mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan penggiat industri pelancongan.

Menurut beliau, majlis yang diserikan dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu itu juga menjadi medan memperkenalkan keunikan Melaka kepada pelancong dalam dan luar negara dengan pelbagai persembahan istimewa beridentitikan negeri bersejarah.

“Majlis ini memberi ruang kepada pelancong sekitar Banda Hilir menikmati sendiri suasana Aidilfitri di Melaka dalam suasana santai dan penuh budaya.

“Alhamdulillah, sambutan sangat luar biasa walaupun dibuat secara sederhana, kita turut menjemput pelancong termasuk dari luar negara untuk bersama-sama merasai budaya dan menikmati juadah Aidilfitri seperti lemang, ketupat dan dodol,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya bertemakan ‘Meriahnya Beraya! Mana Lagi Melaka Ler’ di Dataran Istana Kesultanan Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis itu merupakan anjuran bersama Tourism Melaka; Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka; Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM); Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Menara Taming Sari; Zoo Melaka; Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Melaka World Heritage.

Ia turut diserikan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

IMG 20260417 WA0001
EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka: Meriahnya Beraya! di Perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka, Banda Hilir. Foto Afiq Mustaffa

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan; Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Razak optimis mahu menjadikan majlis itu sebagai acara tahunan dengan pengisian lebih meriah bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Lebih menarik lagi, majlis ini secara tidak langsung menjadi medium promosi pelancongan negeri yang berkesan, khususnya di kawasan bersejarah.

“Majlis ini akan diangkat menjadi acara tahunan dengan pengisian lebih menarik serta penglibatan lebih banyak agensi pada tahun mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post ULANG TAHUN KE-23 BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH DISAMBUT PENUH KESYUKURAN
Next post MELAKA PERTIMBANG INSENTIF BANTU PENIAGA DI BAWAH PBT