
BALAI POLIS, IPD BAHARU PACU PEMBANGUNAN, KESELAMATAN DUN PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 18 April – Pembinaan Balai Polis Tanjung Minyak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di lokasi baharu dijangka memberi impak positif yang lebih menyeluruh kepada sistem keselamatan dan pembangunan kawasan Paya Rumput.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Rais Yasin berkata, pemindahan ke tapak baharu yang lebih luas dan strategik di Krubong membolehkan perancangan infrastruktur keselamatan dilaksanakan secara lebih teratur, moden selain memenuhi keperluan semasa.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata berbanding lokasi sedia ada yang terhad, pembangunan di kawasan baharu itu dijangka mampu menampung kapasiti anggota, kemudahan operasi serta perumahan anggota polis.
“Mewakili DUN (Dewan Undangan Negeri) Paya Rumput khususnya dan seluruh rakyat Melaka, kita maklum bahawa Balai Polis Tanjung Minyak ketika ini hanya mempunyai 17 anggota yang meliputi kira-kira 91,000 penduduk.
“Dengan pembinaan balai baharu serta IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Melaka Tengah yang baharu, saya yakin ia meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan keharmonian kehidupan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra YB Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Pesara dan Anggota Polis Tanjung Minyak di Balai Polis Tanjung Minyak, di sini, semalam.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan turut hadir Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Menurut Rais, DUN Paya Rumput merupakan antara kawasan paling padat dan terbesar di Negeri Melaka, justeru keperluan terhadap infrastruktur keselamatan yang lebih komprehensif tidak boleh lagi ditangguhkan.
“Balai polis sedia ada juga telah dibina sebelum merdeka iaitu pada tahun 1948, justeru keperluan kepada balai baharu adalah amat mendesak.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri serta Ketua Menteri Melaka atas usaha dan komitmen dalam merealisasikan pembinaan balai polis baharu ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


