Sorting by

×

HAMPIR 3,000 ANAK MUDA TUNJUK MINAT, UMNO BUKA PENDAFTARAN SECARA DALAM TALIAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 April – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi, memutuskan untuk meminda Peraturan Keahlian UMNO bagi membolehkan pendaftaran ahli dilakukan secara dalam talian, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, di mana ia bertujuan memudahkan kemasukan ahli-ahli baharu terutama dalam kalangan anak muda.

Jelas beliau, pendaftaran secara dalam talian itu akan bermula pada Isnin (20 April 2026) dan keahliannya akan diluluskan pada hari yang sama.

“Jadi, bermula hari ini kita akan memperhebat (promosi) secara besar-besaran mengenai pendaftaran keahlian secara dalam talian ini.

“Ia memandangkan terdapat terlalu banyak permintaan dalam kalangan anak muda di platform media sosial termasuk Threads sepanjang dua minggu ini.

“Puteri (UMNO) sahaja melaporkan lebih 1,500 anak muda berminat menyertai UMNO dan Pemuda pula membabitkan lebih kurang 1,300 orang. Jadi, kita telah meluluskan pindaan terhadap peraturan pendaftaran itu di bawah kuasa MKT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MKT UMNO di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Terdahulu, Mesyuarat itu telah dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di MITC kira-kira jam 8.45 malam.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta ahli-ahli MKT.

Turut bersama, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Dr. Asyaraf memaklumkan, MKT juga telah memberi kebenaran kepada sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid atau gabungan antara kehadiran secara fizikal dan secara dalam talian.

Jelas beliau, ketetapan itu selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO, khususnya bagi persidangan dalam tahun yang tiada pemilihan parti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post MELAKA, TIGA NEGERI DITADBIR UMNO TUMPU SALUR BANTUAN TAMBAHAN UNTUK RAKYAT