Sorting by

×

BENGKAK PADA TANGAN

Masa Membaca:3 Minit, 20 Saat

Oleh: Dr. Jon Chua Yul Chun
Pakar Tulang, Tangan & Bedah Mikro
Oriental Melaka Straits Medical Centre

TANGAN manusia ialah anggota tubuh yang kecil tetapi sangat penting. Ia membantu kita melakukan hampir semua aktiviti harian seperti menulis, memegang objek dan bekerja. Walaupun kelihatan ringkas, struktur tangan sebenarnya sangat kompleks kerana terdiri daripada tulang, sendi, tendon, ligamen, saraf dan salur darah yang berfungsi secara seimbang.

Namun begitu, tangan juga boleh terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. Antaranya ialah kemunculan ketulan atau benjolan yang sering disertai bengkak dan kesakitan. Keadaan ini boleh berlaku akibat pelbagai faktor seperti kecederaan, jangkitan, keradangan atau ketumbuhan.

APA PUNCANYA?

Salah satu punca yang biasa ialah kecederaan. Patah tulang, lebam atau terkehel boleh menyebabkan bengkak pada kawasan yang cedera sehingga membentuk benjolan yang dapat dirasai apabila disentuh. Selain itu, tekanan berulang pada tangan, terutamanya dalam pekerjaan yang memerlukan pergerakan tangan yang kerap, juga boleh menyebabkan masalah seperti sista ganglion atau keradangan tendon (tenosynovitis) yang menyakitkan.

Jangkitan juga boleh menyebabkan bengkak pada tangan. Keadaan seperti abses (abscess), selulitis (cellulitis) dan artritis septik (septic arthritis) boleh menyebabkan kawasan tangan menjadi merah, panas, bengkak dan sukar digerakkan. Dalam kes yang lebih serius seperti fasiitis nekrotik (necrotising fasciitis), pesakit mungkin memerlukan rawatan hospital dan pembedahan segera. Jika lewat dirawat, jangkitan ini boleh menyebabkan kehilangan anggota atau mengancam nyawa.

Selain itu, ketulan pada tangan juga boleh berpunca daripada ketumbuhan. Ketumbuhan benigna atau tidak berbahaya seperti sista ganglion, lipoma dan enkondroma (enchondroma) boleh ditemui pada tangan. Enkondroma misalnya kadangkala hanya dikesan selepas berlaku patah tulang jari secara tiba-tiba.

Namun begitu, terdapat juga ketumbuhan malignan atau kanser yang boleh berlaku pada tangan. Antaranya termasuk sarkoma (sacroma) dan lesi metastatik (metastatic lesions) yang boleh menyerang tisu sekeliling serta menyebabkan benjolan yang semakin membesar. Oleh itu, sebarang lesi atau ketulan pada kulit yang semakin besar perlu diperiksa bagi memastikan ia bukan kanser kulit, atau penyakit lain.

Terdapat juga sejenis tumor tisu lembut yang dikenali sebagai tumor sel gergasi tenosinovial (tenosynovical giant cell tumour). Walaupun tumor ini biasanya bersifat benigna, ia boleh membesar secara agresif di kawasan setempat dan menyebabkan kesakitan serta pergerakan tangan yang terbatas. Dalam kes yang jarang berlaku, metastasis ke paru-paru juga pernah dilaporkan.

PEMERIKSAAN

Bagi menentukan punca sebenar ketulan atau bengkak pada tangan, pemeriksaan perubatan yang menyeluruh diperlukan. Pakar bedah tangan akan menilai sejarah pesakit, termasuk tempoh masalah, perubahan yang berlaku serta faktor seperti kecederaan, pekerjaan dan aktiviti harian.

Pemeriksaan fizikal juga penting untuk menilai saiz, bentuk, kepejalan dan tahap kesakitan ketulan tersebut. Selain itu, doktor turut menilai fungsi saraf dan salur darah bagi memastikan tiada gangguan pada struktur penting tangan.

Kaedah pengimejan turut membantu dalam proses diagnosis. Pemeriksaan sinar-X (x-ray) boleh mengesan masalah tulang seperti patah atau pengkalsiuman. Ultrasonografi pula digunakan untuk menilai tisu lembut dan pengumpulan cecair. Sementara itu, pengimejan resonans magnetik (MRI) memberikan gambaran yang lebih terperinci bagi membezakan ketumbuhan benigna daripada malignan.

RAWATAN

Rawatan bergantung pada punca dan tahap masalah yang dialami pesakit. Dalam banyak kes, rawatan tanpa pembedahan seperti rehat, penggunaan splin, larang gerak serta pek ais sudah memadai untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan.

Jika jangkitan berlaku, rawatan antibiotik perlu dimulakan segera bagi mencegah jangkitan daripada merebak. Dalam kes tertentu seperti abses, prosedur pembedahan kecil mungkin diperlukan untuk mengeluarkan cecair atau nanah.

Bagi ketumbuhan benigna seperti sista ganglion atau lipoma, pesakit kadangkala hanya memerlukan pemantauan tanpa pembedahan. Namun begitu, jika ketumbuhan menyebabkan kesakitan atau menjejaskan fungsi tangan, pembedahan mungkin disarankan. Teknik pembedahan moden yang kurang invasif juga membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Sebaliknya, ketumbuhan malignan memerlukan rawatan yang lebih menyeluruh. Rawatan ini mungkin melibatkan pembedahan, terapi radiasi, kemoterapi atau terapi bersasar bergantung pada jenis dan tahap kanser. Dalam kes tertentu, amputasi mungkin diperlukan bagi mengawal penyebaran penyakit.

Kesimpulannya, ketulan atau bengkak pada tangan tidak harus dipandang ringan. Walaupun banyak kes berpunca daripada masalah yang tidak berbahaya, ada juga yang boleh menandakan penyakit serius. Oleh itu, pemeriksaan awal oleh doktor amat penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang sesuai supaya fungsi tangan dapat dipelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post BALAI POLIS, IPD BAHARU PACU PEMBANGUNAN, KESELAMATAN DUN PAYA RUMPUT
Next post BUKIT BATU LEBAH SEMAKIN POPULAR