Sorting by

×

BUKIT BATU LEBAH SEMAKIN POPULAR

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

ASAHAN 18 April – Dari denai pendakian hingga ke gua semula jadi, Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, Kampung Bukit Senggeh menawarkan pengalaman ekopelancongan berasaskan komuniti yang semakin mendapat perhatian di Melaka.

Pegawai Eksekutif Bens Maju Services Nik Zaiman Peei berkata, kawasan itu kini menjadi antara tarikan utama pelancongan alam semula jadi di negeri ini dengan pelbagai penambahbaikan fasiliti serta penganjuran program tahunan.

“Pendekatan ekopelancongan di Bukit Batu Lebah bukan hanya tertumpu kepada aktiviti mendaki, sebaliknya turut melibatkan komuniti kampung serta pembangunan produk pelancongan setempat.

“Setiap tahun kita anjurkan festival seperti Melaka Rainforest Festival dan tahun ini Melaka International Nature Festival yang dijadualkan berlangsung pada Jun,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, Kampung Bukit Senggeh, di sini.

Menurutnya, kawasan berkenaan turut mencatat kehadiran lebih 20,000 pelawat tempatan dan sekitar 3,000 pelawat antarabangsa sejak 2017 dengan peningkatan ketara sehingga 80 hingga 85 peratus dari tahun ke tahun.

“Pelancong luar negara dari Eropah seperti Jerman, Sepanyol serta Amerika Syarikat antara yang kerap mengunjungi kawasan ini bagi merasai pengalaman eko pelancongan sebenar di Melaka.

“Mereka bukan sahaja mendaki tetapi turut dibawa ke kampung, kawasan hutan dan komuniti Orang Asli untuk melihat budaya setempat,” katanya.

Batu lebah
MENJADI lokasi popular dalam kalangan peminat ‘hiking’ kerana keindahan alam semulajadinya. Foto Ihsan Pengurusan Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah

Katanya, kebanyakan pelawat menyifatkan Bukit Batu Lebah sebagai destinasi yang unik kerana menggabungkan elemen alam semula jadi dan budaya tempatan yang jarang ditemui di negeri ini.

“Sokongan Kerajaan Negeri serta wakil rakyat kawasan banyak membantu pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan tandas baharu serta penambahbaikan kemudahan pelancongan.

“Kawasan rekreasi ini juga sedang dipertimbangkan untuk pengiktirafan di bawah inisiatif Geopark Melaka yang kini masih dalam proses kajian dan penilaian. Jika diiktiraf, ia akan memberi nilai tambah besar kepada sektor pelancongan kawasan ini,” katanya.

Ujarnya lagi, antara perancangan jangka panjang adalah menjadikan Bukit Batu Lebah sebagai hab ekopelancongan menjelang 2030 dengan pelbagai produk pelancongan baharu seperti mini zoo, tanaman buah tin, produk kampung serta pengalaman gua dan sejarah.

“Kawasan ini turut mempunyai nilai sejarah termasuk tinggalan era Perang Dunia Kedua, struktur megalit serta penemuan artifak batu yang masih dalam kajian pakar.

“Ramai pelawat berminat untuk datang tetapi mereka berdepan isu pengangkutan ke kawasan ini.

“Saya berharap usaha memajukan Bukit Batu Lebah sebagai destinasi eko pelancongan dapat diteruskan dengan sokongan berterusan agensi berkaitan bagi memastikan potensi kawasan ini terus berkembang sebagai tarikan utama pelancongan alam semula jadi di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post BENGKAK PADA TANGAN
Next post PPSPM, EJEN PELANCONGAN PERHEBAT PROMOSI PRODUK IKONIK SUNGAI, TASIK MELAKA