
PPSPM, EJEN PELANCONGAN PERHEBAT PROMOSI PRODUK IKONIK SUNGAI, TASIK MELAKA
RIM 18 April – Ejen pelancongan tempatan diberi peluang merasai pengalaman pelayaran dua produk ikonik Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Melaka iaitu Melaka River Cruise dan Eco Cruise Tasik Chin Chin, menerusi Program Familiarization Tour.
Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pembangunan Industri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka Iskandar Raban berkata, program tersebut amat penting dalam mempromosikan destinasi menarik di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif itu menghimpunkan ejen pelancongan bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai keunikan Melaka River Cruise dan Eco Cruise Tasik Chin Chin, selain membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara industri.
“Program ini melibatkan penyertaan lebih 100 ejen pelancongan yang berdaftar di Melaka, namun penyertaan dihadkan kepada 40 orang sahaja dengan kehadiran sebenar seramai 27 peserta.
“Antara ejen yang hadir mewakili Ukhwah Harmoni, Insaf Travel, Andalusia dan beberapa lagi pemain industri pelancongan tempatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah beliau, melalui program seperti ini, ejen pelancongan dapat memahami dengan lebih mendalam keunikan produk pelancongan Melaka, sekali gus membantu mempromosikannya dengan lebih efektif kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Program berkenaan turut dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi pelancongan dan pihak pengurusan produk, sejajar dengan usaha berterusan untuk merancakkan sektor pelancongan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


