
MPJ BINA BAHARU 5 RUMAH, 47 DIBAIK PULIH DI BAWAH PPKB
JASIN 18 April – Sebanyak lima unit rumah baharu akan dibina manakala 47 lagi akan dibaik pulih di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bagi kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tahun ini.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pelaksanaan itu adalah hasil pertimbangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi tahun 2026.
“Alhamdulillah, untuk tahun ini kita telah diluluskan pembinaan lima unit rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih melibatkan 47 unit rumah di bawah program PPKB.
“Sekarang kita dalam proses pelantikan sebelum projek ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas mengenai pemilihan penerima, beliau berkata, proses tersebut dibuat secara teliti dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat akar umbi.
Katanya, cadangan penerima akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) yang lebih mengenali penduduk setempat.
“Japerun akan menerima cadangan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang lebih dekat dengan masyarakat.
“MPJ pula bertindak sebagai medium untuk memanjangkan permohonan berdasarkan garis panduan dan kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, antara syarat utama pemilihan adalah penerima mestilah berdaftar dalam sistem e-Kasih bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


