Sorting by

×

HAS2026: AGENDA PENGURUSAN AIR LESTARI, HOLISTIK JADI KEUTAMAAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 22 April – Melaka menyatakan komitmen untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membantu memperkukuhkan agenda pengurusan sumber air negara secara lestari dan holistik.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Melaka juga bertuah apabila dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Air Sedunia 2026 (HAS2026) Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara pada 24 dan 25 April ini.

Katanya, sambutan bertemakan ‘Air Milik Semua’ itu secara tidak langsung meletakkan Melaka sebagai negeri barisan hadapan dalam melaksanakan usaha dan inisiatif memperkasakan kelestarian air di negara ini.

“Kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 serta Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sedang berjalan ketika ini juga mampu memberikan impak kepada penganjuran HAS2026, terutamanya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pengurusan air.

“Melaka sahaja mempunyai hampir 400,000 pengguna air melibatkan sektor domestik dan komersial. Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan air secara lestari,” katanya.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di BernamaTV sempena HAS2026, hari ini.

Siaran langsung itu turut disertai Pengarah Humid Tropics Centre Kuala Lumpur (HTC KL) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia Datuk Ir. S Ratna Rajah.

Menurut Rais, penganjuran program tersebut turut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu air sebagai antara agenda utama pembangunan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atas kepercayaan memilih Melaka sebagai lokasi sambutan peringkat kebangsaan.

“Melaka komited untuk menjadi tuan rumah terbaik berdasarkan berpengalaman dalam menganjurkan acara berskala besar peringkat nasional, ini juga permulaan kepada penganjuran pelbagai acara kebangsaan lain selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKENAL TIGA INSENTIF BANTU PESAWAH, PETANI DAN PENTERNAK
Next post NENEK AMNAH CERIA TERIMA ROMBONGAN MPAG