
MELAKA PERKENAL TIGA INSENTIF BANTU PESAWAH, PETANI DAN PENTERNAK
SERI NEGERI 22 April – Kerajaan Negeri memperkenalkan tiga insentif baharu bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang terkesan susulan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara langkah itu termasuk pemberian subsidi RM30 bagi setiap ekar kepada pesawah bagi menampung peningkatan kos penggunaan jentera seperti membajak dan menuai yang meningkat antara 46 hingga 48 peratus.
Menurutnya, kenaikan harga diesel memberi impak langsung kepada kos operasi pesawah, khususnya melibatkan penggunaan jentera di sawah.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan proaktif dengan menyalurkan subsidi bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada pesawah yang mengusahakan hampir 1,214.1 hektar sawah di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada Program Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 2 Tahun 2026 di Seri Negeri, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan Kerajaan Negeri turut merancang menyalurkan bantuan secara ‘one-off’antara RM200 hingga RM500 kepada petani kecil yang aktif serta berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Katanya, bantuan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 200 petani kecil yang tidak layak menerima subsidi diesel sedia ada kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan, termasuk had pendapatan tahunan.
“Melalui FAMA, kita akan mengenal pasti petani kecil yang benar-benar aktif tetapi belum pernah menerima bantuan sebelum ini, sebelum subsidi secara sekali beri disalurkan bagi membantu kelangsungan operasi mereka,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut bersetuju memberikan pengecualian bayaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) selama setahun kepada petani dan penternak yang menggunakan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian dan penternakan.
“Langkah ini mampu mengurangkan beban kewangan golongan terbabit yang sebelum ini perlu menanggung kos tinggi dalam mengusahakan aktiviti masing-masing.
“Inisiatif ini dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Mei ini selepas semua proses kelulusan dimuktamadkan, termasuk pembentangan kertas cadangan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam mendengar dan memahami keperluan rakyat, khususnya bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempermudahkan urusan rakyat, bukannya menyusahkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


