
MALIGA ENGGAN MENYERAH, TERUS BERJUANG LAWAN KANSER
KESIDANG 13 Jun – Disebalik wajah yang sentiasa mengukir senyuman, hakikatnya dia kini sedang ‘berjuang’ dan enggan menyerah kalah melawan kanser rahim tahap tiga dihidapinya.
Menurut R Maliga, 53, dia tidak menyangka perubahan pada dirinya termasuk mengalami sakit pada bahagian perut adalah petanda tidak baik.
Katanya, kerana tidak mahu merisaukan suaminya dia hanya mendiamkan diri dan bertahan apabila diserang rasa sakit yang datang secara tiba-tiba.
“Selain rasa sakit pada bahagian perut saya juga tidak rasa lapar dan tidak boleh makan sehinggakan berat badan turun dari 90 kilogram (kg) kepada 71 kg dalam jangka masa singkat.
“Melihat keadaan kesihatan saya semakin merosot anak kemudian membawa saya mendapatkan rawatan di hospital swasta sebelum doktor memaklumkan saya menghidap kanser rahim tahap tiga pada April lalu,” katanya.
Maliga berkata demikian ketika ditemui pada Hari Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, di Kompleks Japerun Kesidang, pada Khamis.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, meskipun jauh disudut hatinya dihantui perasaan bimbang, dia sedaya upaya untuk kekal positif dan meneruskan kehidupan harian seperti biasa.
“Rutin harian saya teruskan seperti biasa dan apabila ada program- program kesihatan seperti ini saya akan cuba hadir untuk pemeriksaan bagi mendapatkan nasihat kesihatan secara percuma.
“Saya juga gunakan kesempatan ini untuk berjumpa dengan wakil rakyat bagi bertanyakan sekiranya ada sebarang bantuan yang sesuai bagi pesakit kanser seperti saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


