
WRUR TELOK MAS BERI PENDEDAHAN ANAK MUDA DUNIA KESUKARELAWANAN
TELOK MAS 13 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas bukan sahaja menampilkan pelbagai program menarik untuk segenap lapisan masyarakat, malah turut memberi fokus kepada pembangunan generasi muda.
Ia dizahirkan menerusi penubuhan Volunteer WRUR DUN Telok Mas yang menjadi antara kelainan dibawakan pada siri ke-19 itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai peranan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda.
Menurut beliau, setakat ini seramai 100 sukarelawan telah mendaftar dan penyertaan masih dibuka khusus kepada anak-anak muda dari DUN Telok Mas.
“Program ini khusus untuk anak-anak muda DUN Telok Mas bagi memberi pendedahan kepada mereka bagaimana kerajaan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Secara tidak langsung mereka dapat menimba pengalaman berharga dalam menguruskan program dan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya ketika bersiaran di MELAKAfm bagi mempromosikan WRUR Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas.
Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, sambutan menggalakkan yang diterima jelas menunjukkan semangat anak muda di negeri bersejarah ini dalam berbakti kepada negeri dan masyarakat.
“Alhamdulillah, sukarelawan yang mendaftar sangat bersemangat dan sudah bersedia untuk memberikan khidmat kepada masyarakat. Ini adalah satu program yang baik untuk mendekatkan anak muda dengan Kerajaan Negeri selain membentuk jati diri serta semangat sukarelawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk menyertai pelbagai program yang telah disusun selama seminggu WRUR DUN Telok Mas berlangsung bermula 14 Jun ini.
Jelas beliau, sebanyak 130 program telah disusun dan antara tumpuan utama adalah Ajak Sekampung Festival 2026 yang menampilkan pelbagai acara dan aktiviti menarik untuk seisi keluarga bertempat di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas.
Selain itu, turut diadakan Telok Mas Heritage Fun Run, pertandingan memancing, Malam Lestari Warisan, Malam Kesyukuran Telok Mas serta lain-lain lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


