Sorting by

×

MELAKA PERINTIS PEKERTI NEGARA, 12 SEKOLAH DIPILIH FASA PERTAMA

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 13 Jun – Melaka bakal menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Negara apabila 12 sekolah di negeri ini akan dipilih untuk menyertai fasa pertama program berkenaan yang memberi fokus kepada pembangunan sahsiah dan kesejahteraan remaja.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, pihaknya bercadang menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurut beliau, PEKERTI Negara merupakan antara inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun di seluruh negara.

“LPPKN bercadang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program ini dan pada masa sama berharap kerajaan negeri dapat membantu mengenal pasti sekolah yang bersesuaian untuk terlibat.

“Di peringkat nasional, sebanyak 200 sekolah sedang dikenal pasti untuk menyertai program ini, manakala Melaka diperuntukkan 12 sekolah bagi pelaksanaan fasa pertama.

“Keutamaan diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi supaya intervensi yang dilaksanakan dapat membantu menangani pelbagai isu sosial dan cabaran yang dihadapi golongan remaja,” katanya ketika ditemui pada Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN yang berlangsung di LPPKN Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta Pengarah LPPKN Melaka, Suszma Khairitszi Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur berkata, PEKERTI Negara bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, malah turut berperanan membentuk jati diri, nilai murni, kemahiran sosial serta daya tahan diri dalam kalangan remaja.

Beliau memaklumkan, Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN merupakan antara program awal yang dirangka bagi mendekati golongan remaja dan belia menerusi pendekatan yang lebih santai, interaktif dan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Jelas beliau, bagi menyokong pelaksanaan program itu sehingga Disember tahun ini, LPPKN Melaka menerima peruntukan kira-kira RM200,000 daripada jumlah keseluruhan RM1.4 juta yang disediakan di peringkat nasional.

“Program ini juga akan diteruskan pada tahun hadapan menerusi peruntukan yang akan disalurkan bagi memastikan usaha pembangunan sahsiah dan kesejahteraan remaja dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga kini seramai 1.4 juta golongan belia telah berdaftar sebagai ahli KafeTEEN di seluruh negara dan sepanjang 2026, 150,000 lagi anak muda disasarkan akan berdaftar serta menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan menerusi platform tersebut.

“Penyertaan aktif golongan muda dalam program seperti KafeTEEN amat penting kerana ia menyediakan ruang selamat untuk mereka mendapatkan maklumat, bimbingan dan sokongan berkaitan pelbagai isu yang dihadapi dalam kehidupan seharian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI, KEPIMPINAN NEGERI DENGAR DENYUT NADI RAKYAT KESIDANG
Next post RM1 JUTA NAIK TARAF RUMAH PANGSA DUN KESIDANG