Sorting by

×

KETUA MENTERI, KEPIMPINAN NEGERI DENGAR DENYUT NADI RAKYAT KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KESIDANG 13 Jun – Suara dan denyut nadi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang terus diberi perhatian apabila pelbagai aduan serta permasalahan penduduk didengari secara terus menerusi penganjuran Hari Aduan Rakyat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka.

Program berkenaan merupakan antara pengisian utama sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang yang berlangsung selama seminggu dan melabuhkan tirainya hari ini.

Lebih bermakna, program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.

Kehadiran pelbagai agensi di bawah satu bumbung memberi peluang kepada penduduk untuk mengemukakan aduan, cadangan serta permohonan berkaitan pelbagai perkara termasuk kemudahan awam, kebajikan, perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan kerajaan.

Pada program itu, Ab Rauf turut mendengar sendiri beberapa aduan yang dikemukakan rakyat antaranya berhubung permohonan utiliti, hal ehwal tanah serta bantuan kebajikan.

Malah, beliau juga turut meluangkan masa melawat ke pelbagai reruai agensi dan jabatan kerajaan yang disediakan bersempena program tersebut.

Selain itu, Ketua Menteri juga turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada murid cemerlang dan seterusnya menyaksikan acara sukaneka membabitkan anak-anak tadika di bawah DUN Kesidang.

Terdahulu, Hari Aduan Rakyat itu turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin.

Turut bersama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post WRUR PAPAR REALITI PEMIMPIN SAYANG RAKYAT
Next post MELAKA PERINTIS PEKERTI NEGARA, 12 SEKOLAH DIPILIH FASA PERTAMA