
HAS2026: SASAR LEBIH 2,000 PENGUNJUNG, PADAT PELBAGAI PENGISIAN
BANDARAYA MELAKA 22 April – Bermatlamatkan untuk memperkasa budaya menghargai air, Sambutan Hari Air Sedunia 2026 (HAS2026) Peringkat Kebangsaan padat dengan pelbagai pengisian disusun untuk semua lapisan usia.
Penganjuran HAS2026 bertemakan ‘Air Milik Semua’ di Dataran Tanjung Bidara selama dua hari pada 24 dan 25 April ini dijangka mampu menggamit kehadiran lebih 2,000 orang pengunjung.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, penganjuran HAS2026 melibatkan penganjuran aktiviti berbentuk pendidikan, keusahawanan dan kekeluargaan.
“Kita menyediakan ruang Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain sesi perkongsian istimewa untuk usahawan menerusi Pocket Talk Keusahawanan.
“Bagi tarikan keluarga pula, pelbagai aktiviti sukan rakyat turut dianjurkan seperti konda-kondi, bola tampar pantai dan tarik tali yang melibatkan kira-kira 600 peserta selain pertandingan mewarna serta pameran aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Wawancara Radio Melaka FM sempena HAS2026 di Jabatan Penyiaran Melaka, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran program anjuran bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu merupakan antara acara berskala besar bertaraf nasional dianjurkan di Melaka selepas beberapa tahu.
“Program berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai air serta sumbernya.
“Selain itu, ia juga bertujuan mempertingkatkan pengetahuan orang ramai mengenai kaedah penjimatan dan konservasi air dalam kehidupan seharian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


