Sorting by

×

BANTUAN TUISYEN PERCUMA BANTU ANAK MASJID TANAH RAIH 11A+ SPM

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 April – Lahir dan berasal daripada keluarga B40 bukan menjadi penghalang, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat seorang pelajar untuk melakar kejayaan dengan meraih keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pelajar terbaik SPM 2025 dari SMK Ghafar Baba, Lee Wei He, 18, menyifatkan Program Santuni Madani anjuran TRX City Sdn Bhd, sebagai platform baik dan menjadi antara faktor penting membantunya mencapai kejayaan tersebut.

Menurutnya, program berkenaan menyediakan kelas tuisyen berkualiti dengan tenaga pengajar yang berpengalaman secara percuma untuk membantu pelajar.

“Program ini sangat membantu kerana saya dapat mengikuti kelas tambahan dengan guru-guru daripada sekolah cemerlang.

“Mereka bukan sahaja berkongsi ilmu, malah memberi pelbagai teknik dan tip untuk menjawab soalan dengan lebih berkesan. Cara pengajaran juga menarik dan tidak membosankan.

“Saya sangat menghargai bantuan ini kerana ia banyak membantu saya dalam perjalanan SPM sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Program Santuni Madani TRX Sdn Bhd yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Wei He turut merakamkan penghargaan kepada guru, keluarga serta semua pihak yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjuangannya.

Mengulas lanjut, untuk perancangan masa depan, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di luar negara sebelum kembali berbakti kepada Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post HAS2026: 100 ANAK MELAKA DILATIH JADI ‘DUTA AIR’
Next post HAS2026: SASAR LEBIH 2,000 PENGUNJUNG, PADAT PELBAGAI PENGISIAN