Sorting by

×

MAIM BELA NASIB TIGA BERADIK YATIM PIATU

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 22 April – Nasib tiga beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tampil turun padang menyantuni mereka di Taman Tanjung Minyak Utama, di sini.

Ketiga-tiga beradik itu kini hilang tempat bergantung, dengan abang sulung, Ahmad Hairul Anuar Zali terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia muda.

Lebih mencabar, Ahmad Hairul yang masih menuntut di Politeknik Kota Melaka perlu membahagikan masa antara pelajaran dan menguruskan dua adiknya yang masih bersekolah, termasuk seorang daripadanya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme.

Situasi tersebut bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah ketabahan emosi dalam memastikan kebajikan adik-adiknya terus terpelihara.

Prihatin dengan ujian yang menimpa keluarga berkenaan, MAIM menerusi Skuad Agihan Zakat (SAZ) segera mengambil langkah proaktif dengan turun padang bagi menilai keperluan mereka secara dekat.

Menurut kenyataan MAIM, pihaknya komited memastikan kebajikan tiga beradik itu terus terbela, khususnya dalam aspek pendidikan agar masa depan mereka tidak terjejas.

“MAIM akan terus memantau dan memastikan keperluan asas mereka mencukupi, di samping memberi sokongan berterusan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, program ziarah tersebut diketuai Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Norazmi Hussin yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta kit makanan sebagai bantuan awal bagi meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan.

Usaha berterusan itu diharap dapat memberi sinar baharu kepada tiga beradik tersebut dalam meneruskan kehidupan, meskipun berdepan ujian kehilangan insan tersayang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

220
Kongsi :
Previous post HAS2026: SASAR LEBIH 2,000 PENGUNJUNG, PADAT PELBAGAI PENGISIAN
Next post WRUR MACHAP JAYA: KILANG TAUGE MACHAP TARIK PERHATIAN KETUA MENTERI