Sorting by

×

MELAKA CADANG DISKAUN 50 PERATUS KADAR PARKIR RNR PINTU GERBANG AYER KEROH

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 April – Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan diskaun parkir sebanyak 50 peratus kepada mereka yang meletakkan kenderaan secara harian di parkir kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Pintu Gerbang Ayer Keroh.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya akan berbincang secara lanjut bersama operator dan pihak berkaitan mengenai cadangan itu sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, lebih 40 parkir disediakan di kawasan tersebut yang sering digunakan pengguna yang berulang alik ke luar Melaka setiap hari.

“Kerajaan Negeri mendengar keluhan rakyat, diskaun 50 peratus akan diberikan namun kaedah dan tarikh pelaksanaan belum dimuktamadkan lagi.

“Kita cakna akan isu ini dan mengambil maklum rungutan pengguna yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Bagi Projek Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 MWac di Empangan Jus di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Ts. Noramirul Nizam Kamis; Pengerusi Jus Power Sdn Bhd Datuk Seri Ong Ah Hwa serta kenamaan lain.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menerusi hantaran di laman Facebook rasminya kelmarin berkongsi mengenai keluhan pengguna yang berdepan kesukaran berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap hari menaiki bas di hentian Pintu Gerbang Ayer Keroh.

Menurut perkongsian itu, bayaran parkir yang dikenakan itu menambah beban kepada mereka yang berulang alik mencari rezeki di luar Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

945
Kongsi :
Previous post KRISIS ASIA BARAT: MELAKA TUMPU MODEL TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI