
KRISIS ASIA BARAT: MELAKA TUMPU MODEL TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI
KOTA LAKSAMANA 23 April – Sektor tenaga menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam menangani ketidaktentuan bahan api susulan krisis di Asia Barat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, dalam arus perubahan yang semakin kompleks, sektor tenaga bukan lagi keperluan asas tetapi telah menjadi penentu kepada kekuatan ekonomi, kestabilan negeri dan masa depan rakyat.
Katanya, susulan itu Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sistem tenaga dengan meneroka teknologi baharu mampu membekalkan tenaga boleh diperbaharui yang lebih holistik serta mampan.
Ab Rauf berkata, konflik Asia Barat menyebabkan ketidaktentuan harga bahan api dan memberi tekanan kepada pasaran dunia termasuk rakyat Malaysia.
“Seiring dengan keperluan peringkat nasional, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah menggariskan sasaran yang jelas meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sehingga 70 peratus menjelang tahun 2050.
“Pelbagai inisiatif telah digerakkan termasuk program Tarif Galakan, pembangunan projek solar berskala besar serta peluasan solar bumbung bagi perkukuh campuran tenaga baharu dalam sistem bekalan elektrik negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Bagi Projek Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 MWac di Empangan Jus di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ts. Noramirul Nizam Kamis; Pengerusi Jus Power Sdn Bhd Datuk Seri Ong Ah Hwa serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri tidak boleh bergantung kepada kaedah konvensional semata sebaliknya perlu beralih kepada model pembangunan tenaga lebih lestari, inovatif dan berdaya saing.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkasa agenda tenaga lestari dan disokong oleh pemantauan dan pengukuran jelas terhadap impak alam sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


