Sorting by

×

EMPANGAN JUS MODEL PERINTIS PROJEK SOLAR HIBRID

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 24 April – Projek Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 megawatt alternating current (MWac) di Empangan Jus menjadi model perintis kepada pembangunan projek sama di dua lagi empangan utama di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata Melaka mempunyai tiga empangan utama iaitu Empangan Jus, Durian Tunggal dan Asahan.

Katanya, kejayaan projek ladang solar hibrid itu akan membuka ruang kepada peluasan inisiatif di lokasi lain di negeri ini.

“Jika projek yang pertama ini berjaya, kita akan lihat potensi untuk dilaksanakan di empangan lain pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Bagi Projek Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 MWac di Empangan Jus di sebuah hotel, di sini, semalam

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ts. Noramirul Nizam Kamis; Pengerusi Jus Power Sdn Bhd Datuk Seri Ong Ah Hwa serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, projek tersebut akan bermula pada hujung 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung 2027.

Tambahnya, projek itu mesti diterjemah kepada pelaksanaan yang cekap, mengikut jadual dan mencapai hasil yang dirancang.

“Setiap fasa pembangunan, daripada pemasangan, penyambungan grid sehinggalah kepada bahagian operasi perlu dipantau dengan rapi dan dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.

“Perkara ini penting kerana apa yang dilaksanakan ini bukan sahaja melibatkan pelaburan yang besar namun membawa harapan rakyat terhadap penyediaan tenaga lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post MELAKA CADANG DISKAUN 50 PERATUS KADAR PARKIR RNR PINTU GERBANG AYER KEROH
Next post SIDANG DUN MELAKA PENGGAL KELIMA BUKA TIRAI SECARA RASMI