Sorting by

×

MELAKA KONGSI VISI BANDAR PINTAR KEPADA DELEGASI DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 26 April – Melaka menzahirkan komitmen tinggi dalam pembangunan bandar mampan dan pintar seiring usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Visi itu dikongsikan kepada delegasi Kongres Dunia Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 bersempena Majlis Makan Malam Rasmi 30th EAROPH World Congress 2026 yang diadakan di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, di sini, malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan sosial, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Katanya, ia termasuklah tumpuan kepada pembangunan bandar pintar, perancangan bandar mampan, penyediaan perumahan mampu milik untuk rakyat serta kesejahteraan komuniti.

Jelas beliau, kongres bertemakan ‘City Assets for Community Gains’ juga amat bertepatan dengan aspirasi Negeri Melaka, di mana ia mengingatkan bahawa bandar bukan sekadar ruang fizikal, tetapi ekosistem hidup yang dibentuk oleh manusia, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.

“Aset bandar sama ada infrastruktur, warisan, teknologi atau modal insan mesti akhirnya memberi manfaat kepada komuniti. Apabila bandar diurus dengan bijaksana, aset-aset ini menjadi pemangkin kuat kepada pertumbuhan yang saksama dan peningkatan kualiti hidup,” katanya pada majlis makan malam itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden EAROPH Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; delegasi EAROPH serta lain-lain kenamaan.

679978425 1533906461635712 7737855484093267690 n
RAIS menyampaikan penghargaan kepada delegasi EAROPH. Foto MBMB

Menurut Ketua Menteri, Melaka juga sedia memperkukuh jalinan kerjasama bersama semua perancang bandar, pembuat dasar dan pemikir terkemuka bagi bertukar-tukar idea dan amalan terbaik dalam membentuk bandar pintar masa depan.

Terdahulu, pada majlis makan malam itu, delegasi EAROPH turut disajikan dengan keunikan budaya dan warisan Melaka merangkumi hidangan tradisional hinggalah kepada persembahan seni yang mencerminkan identiti masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Turut diadakan penyampaian hadiah dan anugerah Karnival ICT MBMB bagi Pertandingan Roborace: Urban Cleanup Mission, Minecraft Build Battle dan Debat Transformasi Digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post DUN MACHAP JAYA TERIMA 107 PROJEK BERNILAI RM4.07 JUTA
Next post WRUR: ‘KAMPUNG KITA’ PUPUK SEMANGAT KECINTAAN