
KESELAMATAN PELANCONG PERLU DIUTAMAKAN – MOTAC MELAKA
BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Semua syarikat bas dan van persiaran serta pengusaha pelancongan di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelancong, selain mengekalkan kualiti perkhidmatan industri pelancongan.
Peringatan itu dibuat susulan insiden kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Kilometer 212 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan yang menyebabkan lapan pelancong warga India cedera, pada Isnin.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka Mohamad Bukhari Che Man berkata, semua pengusaha pelancongan perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan memastikan setiap operasi dijalankan mengikut undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan.
Katanya, kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk penggantungan atau pembatalan lesen operasi syarikat.
“Bagi kes kemalangan yang berlaku baru-baru ini, syarikat terbabit bukan berdaftar di Melaka, sebaliknya berasal dari Selangor. Setakat ini, rekod pematuhan syarikat pelancongan di Melaka berada pada tahap baik dan tiada kes pembatalan lesen direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah sempena MATTA Fair Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin.
Mengulas lanjut, Mohamad Bukhari berkata, peranan MOTAC Melaka adalah menyediakan laporan kepada ibu pejabat, manakala tindakan lanjut akan diputuskan di peringkat pusat.
“Bagi kes ini, MOTAC tidak membuat laporan polis kerana tindakan telah diambil pihak berkuasa selepas ujian saringan mendapati individu terbabit positif dadah dan siasatan sedang dijalankan pihak polis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


