
HARI ADUAN RAKYAT: FOKUS SELESAI ISU TELEKOMUNIKASI, TANGANI ‘BLIND SPOT’
AYER MOLEK 5 Mei – Hari Aduan Rakyat (HAR) menjadi platform penting dalam menyelesaikan isu telekomunikasi, khususnya membabitkan kawasan ‘blind spot’ dilaporkan di negeri ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, biarpun aduan diterima tidak banyak, namun majoritinya melibatkan masalah liputan rangkaian.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) serta syarikat telekomunikasi akan turun padang bagi meneliti setiap aduan secara menyeluruh.
“Pendekatan kita bukan sekadar menerima aduan tetapi turun ke lokasi untuk mendapatkan bacaan sebenar dan melihat sendiri tahap liputan yang dihadapi penduduk.
“Dengan cara ini, kita dapat kenal pasti punca masalah dan merangka penyelesaian yang lebih tepat bersama agensi teknikal serta Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada HAR sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Hang Tuah Jaya : Kampung Kita di Dewan Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.
Tambah beliau, isu liputan lemah lazimnya berlaku di kawasan pedalaman dengan jumlah penduduk kecil, namun tetap diberi perhatian.
“Walaupun hanya lima hingga enam rumah terlibat dan berada kira-kira 1.6 kilometer dari menara telekomunikasi, masalah ‘blind spot’ ini tetap perlu diselesaikan.
“Jika kita berjaya tangani satu aduan, ia juga boleh menjadi model penyelesaian kepada kawasan lain yang berdepan isu sama.
“Selain itu, terdapat juga aduan berkaitan pengalihan tiang Telekom Malaysia (TM) yang mengganggu laluan awam dan akan diambil tindakan segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


