Sorting by

×

PERPUSTAKAAN KOMUNITI SRI KANDANG CETUS GELOMBANG ILMU

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER MOLEK 5 Mei – Pembukaan Perpustakaan Komuniti Sri Kandang sempena program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menjadi bukti komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan bermanfaat kepada penduduk setempat.

Penubuhan Perpustakaan komuniti itu dilihat sebagi platform penting bagi memberi akses bahan bacaan kepada penduduk, khususnya kanak-kanak dan pelajar yang memerlukan rujukan tambahan di luar waktu persekolahan.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih di atas manfaat yang diterima, selain menyifatkannya sebagai satu kemudahan amat besar untuk komuniti.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Kandang, Mohammad Kadir, 79, berkata, menerusi perpustakaan komuniti itu ia bakal membantu anak-anak yang masih bersekolah mendapatkan sumber ilmu yang lebih meluas.

“Kadang-kadang di sekolah tiada rujukan mencukupi, jadi dengan adanya perpustakaan ini kita dapat membantu dan tunjuk ajar kepada anak- anak dalam komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Perpustakaan Komuniti Sri Kandang sempena WRUR DUN Ayer Molek yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, di sini, pada Isnin.

Menurut Mohammad, pihak persatuan turut mengambil inisiatif menggalakkan kehadiran anak-anak ke perpustakaan tersebut melalui pembukaan secara konsisten setiap minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

6323424537260790166
PENGERUSI Persatuan Penduduk Taman Seri Kandang, Mohammad Kadir. Foto Afiq Mustaffa

Sementara itu, penduduk Taman Sri Kandang, Qalida Umar, 63, meluahkan rasa syukur dengan adanya kemudahan itu yang disifatkan sebagai ruang bermanfaat untuk generasi muda mengisi masa lapang dengan membaca.

“Sekurang-kurangnya mereka tak perlu ikut ibu bapa ke mana-mana, boleh datang sini membaca dan menambah ilmu daripada asyik bermain telefon. Ilmu dalam buku jauh lebih banyak,” ujarnya.

Nada sama turut disuarakan Salia Ibrahim, 66, yang bangga dan gembira dengan penubuhan perpustakaan komuniti tersebut, selain menganggapnya bakal membawa impak positif kepada komuniti setempat.

“Saya memang rasa bangga dan gembira sebab akhirnya ada perpustakaan mini di kawasan ini, sekurang-kurangnya anak-anak ada tempat yang lebih bermanfaat untuk luangkan masa.

“Harap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan terus aktif supaya budaya membaca dalam komuniti kita dapat dipupuk dari peringkat awal,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post TIADA LAGI ‘DONUT’, ‘LINE SIPUT’ DI PEKAN ASAHAN
Next post HARI ADUAN RAKYAT: FOKUS SELESAI ISU TELEKOMUNIKASI, TANGANI ‘BLIND SPOT’