
TIADA LAGI ‘DONUT’, ‘LINE SIPUT’ DI PEKAN ASAHAN
ASAHAN 5 Mei – Pembinaan sebuah menara telekomunikasi di Pekan Asahan pada tahun lalu, menjadikan kawasan itu kini memiliki liputan internet dan jaringan komunikasi lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pekan Asahan Rahim Rahman berkata, pembinaan menara berkenaan berjaya mengakhiri masalah penduduk yang sebelum ini dibelenggu masalah liputan.
Pada masa sama, ujarnya, inisiatif yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan juga dapat merapatkan jurang di antara masyarakat bandar dan luar bandar di kampung berkenaan.
“Penduduk amat berterima kasih kerana kini liputan internet semakin baik, di mana ia juga dapat membantu memperkasa mutu pendidikan pelajar di Pekan Asahan dan kawasan sekitarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Rahim, selain infrastruktur telekomunikasi, wakil rakyatnya juga turut cakna dalam aspek kebajikan golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai bantuan bagi meringankan beban mereka.
Pada masa sama, ujarnya, penduduk di Pekan Asahan dan Kampung Relau juga mendapat manfaat menerusi inisiatif van jenazah percuma yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu dan kini membantu pengurusan puluhan jenazah di kariah tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

