
WANITA MAUT MOTOSIKAL DIREMPUH KERETA DI JALAN UJONG PASIR
TELOK MAS 5 Mei – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Ujong Pasir awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, Nur Aleyanatasha Roslan, 21 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Banda Hilir menghala ke Serkam.
Katanya, setiba di lokasi kejadian kereta dipandu lelaki itu dipercayai dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan lanjut dan sampel darah diambil untuk tujuan analisis.
“Ujian air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah, namun masih menunggu laporan sama ada kereta tersebut dipandu dalam keadaan mabuk.
“Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan di Balai Polis Malim untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


