Sorting by

×

MPHTJ PERGIAT OPERASI TEMBAK GAGAK

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 4 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) giat melaksanakan Operasi Tembak Gagak di beberapa lokasi sekitar kawasan pentadbirannya bermula 1 Mei lalu.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, operasi itu membabitkan beberapa lokasi tumpuan seperti Pasar Borong MPHTJ, sekitar Taman Merdeka Permai dan Taman Anjung Gapam, Bemban.

Jelas beliau, operasi itu dilaksanakan susulan aduan yang diterima daripada orang awam berhubung isu kebersihan dan pencemaran bunyi.

“Pelaksanaan operasi ini memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan gangguan burung gagak khususnya di kawasan perumahan dan pasar awam.

“Pada hari pertama operasi sahaja, hampir 100 ekor gagak telah ditembak, di mana, operasi ini kita lakukan dalam usaha menjaga kebersihan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk serta orang ramai daripada gangguan haiwan itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah memaklumkan operasi tersebut dilihat signifikan dalam membantu mengurangkan populasi gagak di kawasan berpenduduk dan tumpuan ramai.

Tambahnya, operasi itu akan dilaksanakan pihaknya secara berkala bermula 1 hingga 30 Mei ini.

“Secara tidak langsung, usaha ini dilihat menyumbang kepada langkah memastikan persekitaran lebih bersih, selesa dan terkawal, seterusnya memberi lebih keselesaan kepada penduduk dan peniaga pasar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post DARI TEPI JALAN, KINI MILIKI BENGKEL MAKANAN SEJUK BEKU