
WRUR AYER MOLEK: DUA BERANAK TERSENTUH DIBANTU MAIM
AYER MOLEK 5 Mei – Keprihatinan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membawa sinar baharu kepada kehidupan dua beranak apabila kediaman mereka di Kampung Bukit Gadong, Paya Dalam, di sini, ‘berubah wajah’ menerusi Program Gotong-Royong Kasih Asnaf.
Program yang diadakan bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek itu menyaksikan rumah didiami Mohd Azhar Md Yusof, 27, bersama ibunya, Hairoz Sidi, 45, dibersihkan, dicat semula serta dilengkapi keperluan asas baharu.
Inisiatif berkenaan digerakkan Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) MAIM dengan kerjasama pelbagai pihak yang berganding bahu menceriakan kediaman keluarga asnaf berkenaan.
Mohd Azhar berkata, dia tidak menyangka rumah yang didiami lebih 20 tahun bersama ibunya kini lebih bersih dan selesa hasil keprihatinan MAIM serta wakil rakyat.
Menurutnya, sebelum ini segala urusan rumah diuruskan ibunya, namun selepas terlibat kemalangan selain mengalami masalah kesihatan, keadaan tidak seperti dahulu.
“Awalnya agak terkejut apabila dimaklumkan ada pihak yang akan datang bersihkan kediaman selain bertanyakan keperluan rumah yang diperlukan.
“Alhamdulillah dalam masa agak singkat rumah turut dicat baharu, kawasan sekitar bersih dan beberapa barangan perkakas rumah turut diganti selain kami turut menerima mesin basuh bagi menggantikan yang sudah rosak.
“Sebenarnya mesin basuh sudah sebulan rosak, tidak sangka rezeki kami dapat terima yang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Gadong, Paya Dalam, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, program itu turut disertai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan turut bersama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Mohd Azhar yang kini berkhidmat sebagai pengawal keselamatan berkata, walaupun ibunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu tidak dapat meluahkan, namun riak kegembiraan jelas terpancar di wajahnya apabila ramai datang berkumpul dan bersama-sama membersihkan kediaman.
“Sebenarnya jauh disudut hati saya agak tersentuh apabila melihat keadaan rumah, pastinya semua orang inginkan kediaman yang selesa untuk dihuni.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya MAIM dan YB Datuk Rahmad yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan kami,” katanya.
Menerusi program itu, MAIM bukan sahaja membantu membersih dan mencantikkan kawasan rumah, bahkan turut menyumbang sebuah mesin basuh, tilam, perkakas dapur dan tikar getah berserta karpet baharu untuk keluarga itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


