Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: TERNAKAN BERKELIARAN DOMINASI ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER MOLEK 5 Mei – Isu berkaitan haiwan ternakan berkeliaran antara aduan yang paling banyak diterima pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, WRUR yang diadakan pada 3 hingga 10 Mei itu menjadi platform kepada penduduk setempat menyalurkan pelbagai permasalahan dihadapi mereka.

Jelas beliau, kebanyakan aduan membabitkan haiwan ternakan berkeliaran itu membabitkan lokasi di Bukit Lintang dan Paya Dalam.

“Setakat ini masalah haiwan ternakan seperti lembu yang berkeliaran menjadi antara aduan utama rakyat kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

“Isu lembu ternakan yang berkeliaran akan diambil tindakan menerusi pelaksanaan sistem kod QR yang akan diperkenalkan kepada penternak sebagai langkah menangani isu itu secara sistematik, di mana melalui kaedah ini nanti setiap ternakan yang didapati mendatangkan bahaya boleh dikenal pasti pemiliknya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perpustakaan Komuniti Sri Kandang sempena Program WRUR DUN Ayer Molek, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, fokus beliau sepanjang WRUR DUN Ayer Molek berlangsung adalah membantu menyelesaikan semua permasalahan, selain akan memantau isu yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang.

Katanya, setakat ini pihaknya menerima aduan yang dikumpulkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta individu yang mengadu pelbagai isu untuk diselesaikan.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan aduan akan dimuktamadkan pada Hari Aduan Rakyat, di mana perbincangan bersama agensi terlibat akan diadakan dalam tempoh seminggu selepas WRUR bagi menyelaras tindakan susulan terhadap setiap aduan yang diterima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post JEJAK TINGGALAN SEJARAH LESONG BATU
Next post WRUR AYER MOLEK: DUA BERANAK TERSENTUH DIBANTU MAIM