Sorting by

×

JEJAK TINGGALAN SEJARAH LESONG BATU

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

MACHAP JAYA 4 Mei – Sebuah peninggalan lama yang masih kekal berdiri di Kampung Ulu Melaka Pindah terus menjadi perhatian dan tanda tanya generasi hari ini.

Lesong batu bersaiz besar yang dipercayai menjadi asas kepada penamaan Kampung Lesong Batu itu bukan sahaja menyimpan nilai sejarah, malah turut dikaitkan dengan kisah masyarakat terdahulu menggunakannya sebagai alat amaran ketika menghadapi ancaman musuh.

Menurut Pengerusi JPKK Lesong Batu Mat Zin Minhad, kewujudan lesong batu berkenaan masih boleh dilihat sehingga kini di kawasan tanah milik persendirian, sekali gus menjadikannya antara warisan unik yang masih wujud di kawasan tersebut.

“Kalau ikut cerita orang lama, memang ada satu lesong batu besar di kawasan Kampung Ulu Melaka Pindah. Sekarang pun masih ada lagi kesannya, sebab itu dinamakan Kampung Lesong Batu.

“Selain digunakan untuk tujuan harian masyarakat dahulu, lesong batu itu turut dikaitkan dengan satu fungsi penting berdasarkan cerita turun-temurun penduduk setempat iaitu sebagai alat amaran ketika ancaman musuh dikesan.

“Orang lama cerita, bila ada bahaya atau musuh mendekat, ketukan pada lesong batu ini akan digunakan sebagai isyarat amaran kepada penduduk kampung. Bunyi ketukan yang kuat boleh didengar dan jadi tanda supaya semua bersiap siaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Mat Zin, walaupun tidak dapat dipastikan sejarah itu secara rasmi, namun kisahnya masih menjadi sebahagian daripada warisan lisan yang menggambarkan kebijaksanaan masyarakat dahulu kala dalam sistem komunikasi tradisional.

“Lesong batu berkenaan bersaiz besar namun tidak sebesar kenderaan dan masih kekal di kawasan tanah milik keluarga di kampung tersebut.

“Walaupun kawasan tersebut telah melalui pelbagai proses pindah milik, peninggalan itu masih dipelihara dan tidak dihapuskan, menjadikannya satu warisan unik yang masih wujud sehingga kini,” katanya.

Seiring arus pembangunan, Kampung Lesong Batu kini bukan lagi sekadar kawasan bersejarah, malah telah berkembang sebagai kawasan penempatan moden dengan kemudahan lengkap termasuk mahkamah, sekolah kebangsaan, ibu pejabat polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pelbagai premis perniagaan.

Tambah beliau, kawasan itu turut menempatkan kira-kira lapan taman perumahan dengan jumlah penduduk yang dianggarkan melebihi 4,000 orang dan dijangka terus meningkat susulan pembangunan baharu termasuk projek Taman Tasik Lesong Batu.

“Walaupun pembangunan semakin pesat, saya berharap warisan Lesong Batu tidak dilupakan, sebaliknya dapat diangkat sebagai identiti sejarah kampung yang wajar dipelihara dan diwartakan sebagai kawasan warisan.

“Saya harap pembangunan bergerak seiring, bukan hanya perumahan dan perniagaan, tapi juga pertanian moden dan usaha memelihara sejarah kampung ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post ASAHAN PERNAH ADA ‘LAPANGAN TERBANG’?