Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: KONVOI TURUN PADANG LAMBANG MBMB SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER MOLEK 4 April – Pendekatan turun padang menerusi Konvoi MBMB Sayang Rakyat (MeSRa) bukan sahaja merapatkan hubungan dengan komuniti malah membuktikan keprihatinan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam menyantuni penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, aktiviti turun padang bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek itu juga menjadi manifestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membantu mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBMB itu bukan sahaja menyantuni keluarga yang kurang bernasib baik malah turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan perkakas elektrik.

“Difahamkan menerusi program MBMB Sayang Rakyat ini, lima keluarga terpilih di setiap penganjuran program WRUR dan DUN Ayer Molek menjadi lokasi pertama sebelum diteruskan ke DUN lain.

“Menerusi program ini setiap rumah yang terpilih menerima sumbangan barangan elektrik bernilai kira-kira RM2,000 dan wang tunai RM500, di mana diharap dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program berkenaan di Kampung Bukit Nibong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff serta lain-lain kenamaan.

Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, kerjasama erat antara pelbagai agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyantuni penduduk telah memberikan impak yang menyeluruh, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan penduduk.

“Sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan program WRUR lebih 100 keluarga akan disantuni, sekali gus menjadikan inisiatif ini sebagai platform terbaik dalam merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan PBT dengan komuniti setempat.

“Selain itu untuk dua hari pelaksanaan program WRUR DUN Ayer Molek ini kita melihat ia mendapat sambutan amat baik dalam kalangan penduduk dari pelbagai peringkat usia apabila mereka sama-sama terlibat dalam program dianjurkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post GASING PANGKAH IDENTITI FELDA BUKIT SENGGEH
Next post ‘MASJID TUA’ MACHAP SAKSI BISU SEJARAH, PERPADUAN