
DATARAN BAHARU PERZIM LOKASI IDEAL ACARA PELANCONGAN BERSKALA BESAR
BANDA HILIR 4 Mei – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kini memiliki sebuah dataran baharu yang terletak berhadapan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dan siap dinaik taraf baru-baru ini.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, kawasan tersebut yang dahulunya merupakan taman berumput kini telah berubah menjadi dataran terbuka yang lebih kondusif selepas selesai kerja naik taraf melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta selesai dilaksanakan.
Katanya, kos naik taraf itu disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kewangan (MOF), di mana ia sesuai untuk penganjuran pelbagai acara pelancongan berskala besar.
“Transformasi kawasan ini menjadi dataran merupakan hasil kerjasama antara PERZIM dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sebelum ini merupakan taman berumput dan kini dinaik taraf menjadi sebuah dataran terbuka yang lebih kondusif.
“Kerja naik taraf turut melibatkan penyediaan susun atur (layout) baharu bagi kawasan muzium, sekali gus meningkatkan pengalaman pengunjung yang hadir ke sini.
“Jika terdapat sebarang acara berskala besar yang ingin dianjurkan di sini, pihak kami (PERZIM) amat mengalu-alukan. Kawasan ini kini lebih sesuai untuk pelbagai aktiviti bersama pengunjung dan orang awam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Erne berkata, dengan kemudahan yang lebih tersusun dan ruang terbuka yang luas, dataran baharu itu dijangka menjadi salah satu tarikan utama di Banda Hilir, selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.
“Usaha ini dilihat selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan aktiviti komuniti dan program pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan bersejarah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


