Sorting by

×

PEWARIS LEGASI DODOL BABA NYONYA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ASAHAN 4 Mei – Seakan tidak lengkap sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa juadah tradisional seperti dodol yang menjadi kegemaran ramai sejak dahulu lagi.

Juadah tradisional ini bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah menjadi simbol tradisi yang terus dipelihara oleh sebuah keluarga Baba Nyonya dari Kampung Baru Gunung Emas, di sini.

Bagi pengusaha Dodol T Brother’s, Tee Hock Leng, 49, tradisi menghasilkan dodol bukan sekadar perniagaan, sebaliknya legasi keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun hampir 60 tahun lalu.

“Resipi ini datang daripada nenek dan datuk saya sejak sekitar tahun 1960-an. Dahulu mereka buat untuk saudara-mara sahaja, kemudian bapa saya mula menjualnya pada tahun 1980-an.

“Sejak di bangku sekolah, saya sudah terbiasa membantu nenek di dapur menghasilkan dodol yang dibuat secara tradisional, daripada menguli tepung beras hingga mengacau dodol menggunakan api kayu serta kuali besi.

“Proses menghasilkan dodol dahulu mengambil masa sepanjang hari, dari pagi hingga petang. Kini, dengan penggunaan gas dan mesin moden, ia hanya mengambil masa kira-kira empat jam sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang juga pemandu e-hailing berkata, meskipun menggunakan kaedah moden bagi pembuatan dodol, namun resipi asli keluarganya tetap dikekalkan.

Tambahnya, keunikan dodol yang dihasilkan keluarganya terletak pada penggunaan gula melaka pilihan daripada pembekal yang sama sejak dahulu, manakala tambahan gula batu pula memberi tekstur lebih kenyal.

“Kami masih suka menguli tepung beras sendiri daripada membeli yang siap, kerana ia memberikan rasa dodol yang lebih asli dan sedap.

“Sekarang kami hanya jual secara kecil-kecilan sahaja. Bila ada masa dan tempahan, barulah kami sekeluarga berkumpul untuk memasak dodol bersama-sama,” katanya.

Walaupun begitu, sebagai anak sulung, Hock Leng berharap tradisi pembuatan dodol warisan keluarganya itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Usaha berkenaan menurutnya penting supaya pemanis mulut berkenaan terus dikenali dan tidak dilupakan oleh generasi muda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: KESEDARAN ‘SCAMMER’, AI DAN STEM ANTARA TUMPUAN
Next post DATARAN BAHARU PERZIM LOKASI IDEAL ACARA PELANCONGAN BERSKALA BESAR