Sorting by

×

WRUR: MAIM TERUS DEKATI, SANTUNI ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER MOLEK 4 Mei – Usaha membantu golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan terus diperluas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, selain menyampaikan bantuan seperti kit makanan dan wang tunai untuk meringankan beban penerima melalui ziarah kasih, MAIM turut melaksanakan inisiatif kemasyarakatan menerusi program gotong-royong rumah asnaf.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan MAIM terhadap keadaan dan nasib golongan asnaf termasuk mereka yang diuji dengan masalah kesihatan.

“Misalnya pada program WRUR DUN Ayer Molek ini MAIM menyantuni seorang ibu tunggal yang juga orang kelainan upaya (OKU) tidak boleh bercakap yang keadaan kediamannya agak uzur.

“Jadi, MAIM bersama Badan Sukarelawan At Taqwa (BSAT) telah membersihkan kawasan luar dan dalam rumah termasuk mengecat baru serta digantikan beberapa perkakas rumah selain turut disampaikan kit makanan beserta wang tunai.

“Dengan bantuan atau sumbangan dihulurkan ini besar harapan kami ia bukan sahaja dapat membantu meringankan beban ditanggung malah memberi sinar baharu untuk keluarga ini meneruskan kehidupan harian dengan suasana lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Gotong-Royong Kasih Asnaf Sempena Program WRUR DUN Ayer Molek di Kampung Bukit Gadong, Paya Dalam, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, pendekatan turun padang seperti itu merupakan antara usaha berterusan dalam menyantuni golongan memerlukan, khususnya melalui platform WRUR yang turut memberi tumpuan kepada program kebajikan.

Malah, ujar beliau, menerusi inisiatif seumpamanya juga MAIM dapat membuat semakan dan penilaian lanjut mengenai bentuk bantuan yang layak disalurkan misalnya bantuan bulanan.

“MAIM kami tidak pernah berhenti menyantuni golongan yang memerlukan malah mencuba sebaiknya menggunakan setiap platform mahupun pendekatan supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post ‘PUYUH EMAS’ PEKAN NYALAS LARIS
Next post WRUR AYER MOLEK: KESEDARAN ‘SCAMMER’, AI DAN STEM ANTARA TUMPUAN