
PEKEBUN LEGA MASALAH HAKISAN TEBING SUNGAI SELESAI
ASAHAN 3 Mei – Masalah hakisan tebing Sungai Nyalas yang mencetuskan kebimbangan penduduk dan pekebun kecil di Kampung Pondok Batang berjaya diatasi dengan pemasangan batu sangkar atau gabion, awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Batang dan Kampung Abbey Usly Abu berkata, kerja baik pulih itu dilaksanakan dengan peruntukan kira-kira RM50,000 bagi menstabilkan tebing sungai yang sebelum ini runtuh dan menjejaskan laluan penduduk ke kebun berhampiran.
“Laluan di tebing sungai ini penting kerana digunakan sekitar 30 ke 40 pekebun kecil untuk ke kawasan tanaman mereka setiap hari.
“Apabila berlaku tanah runtuh di tebing sungai itu, ia bukan sahaja berisiko, malah menyukarkan pergerakan penduduk selain mencetuskan kebimbangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Usly berkata kerja pemasangan batu sangkar itu melibatkan kawasan sepanjang kira-kira 70 hingga 100 meter di sepanjang Sungai Nyalas.
Jelasnya, penambahbaikan itu memberi manfaat kepada pekebun kecil yang menggunakan tebing tersebut sebagai laluan yang mengusahakan tanaman getah dan buah-buahan di kawasan berkenaan.
“Walaupun skala projek tidak besar, namun peruntukan yang diberikan cukup membantu dari segi keselamatan dan kelancaran laluan penduduk.
“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam dan agensi serta pihak terbabit yang meluluskan peruntukan bagi mengatasi masalah membelenggu pekebun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


