Sorting by

×

DI USIA 77 TAHUN, TOO MOI MASIH ‘POWER’ BERKEBUN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ASAHAN 3 Mei – Usia emas bukan penghalang bagi Chong Too Moi, 77, dari Kampung Baru Pondok Batang untuk terus aktif berkebun menanam pelbagai jenis sayuran.

Warga emas itu mengusahakan lebih 15 jenis sayuran di atas tanah seluas 0.8 hektar sejak 13 tahun lalu demi kelangsungan hidup, selain mengekalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, antara sayuran yang diusahakan adalah seperti sawi, kacang panjang, kangkung, bayam, terung dan bendi.

“Beginilah rutin harian saya, setiap pagi pasti ke kebun di hadapan rumah, kebun ini bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah membantu saya mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan diri.

“Semua hasil tuaian ini akan dijual di pasar sekitar Tangkak dan Asahan dibantu oleh anak-anak saya yang banyak memberi sokongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu tunggal kepada enam anak dan 11 cucu itu berkata, walaupun faktor usia semakin meningkat, namun minat terhadap bidang pertanian membuatkan dirinya terus bersemangat untuk bekerja seperti biasa.

Dia turut berterima kasih kepada kerajaan di atas pemberian geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sebanyak RM5,000 untuk membeli sebuah mesin pajak tanah dan seterusnya memudahkan urusan untuk menaman lebih banyak tanaman kontan.

“Mesin ini dikendali oleh anak untuk membantu membajak tanah bagi tanaman sayur, jika tiada mesin ini memang saya seorang akan mencangkul dan melakukan gembur tanah namun dengan mesin ini saya dapat tanam lebih banyak sayur serta lebih ramai terima manfaat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post MELAKA RIVER CRUISE REKOD LONJAKAN PENGUNJUNG 132.5 PERATUS
Next post WRUR PELENGKAP USAHA MELAKA JUARAI KEBAJIKAN RAKYAT