Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: PERPUSTAKAAN KOMUNITI SRI KANDANG PERKASA BUDAYA MEMBACA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER MOLEK 4 Mei – Kewujudan sebuah perpustakaan komuniti di Taman Sri Kandang bakal memperkasa budaya membaca dan seterusnya melahirkan masyarakat celik ilmu.

Ia dibangunkan hasil inisiatif Persatuan Penduduk Taman Sri Kandang dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) yang menaik taraf bilik serbaguna Tabika KEMAS Taman Sri Kandang menjadi sebuah perpustakaan yang menempatkan lebih 3,000 bahan bacaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perpustakaan komuniti itu berfungsi sebagai ruang asas untuk aktiviti membaca dan rujukan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, wujudnya Perpustakaan Komuniti Taman Sri Kandang ini hasil kerjasama persatuan penduduk bersama-sama PERPUSTAM untuk meningkatkan akses anak-anak penduduk dengan bahan bacaan.

“Kemudahan ini berfungsi sebagai ruang asas untuk aktiviti membaca dan rujukan penduduk, namun akan dikembangkan dengan sokongan pihak berkaitan termasuk perpustakaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perpustakaan Komuniti Sri Kandang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Perpustakaan Komuniti Sri Kandang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, perpustakaan itu dijangka akan memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya dalam menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Bilik bacaan ini memang khusus untuk penduduk di sini dan di fahamkan persatuan penduduk akan bergilir mengawal bilik bacaan tersebut yang akan dibuka setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

“Dari semasa ke semasa kita memang merancang untuk menambah baik dari segi kemudahan supaya lebih selesa dan lengkap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post ‘MASJID TUA’ MACHAP SAKSI BISU SEJARAH, PERPADUAN
Next post ASAHAN PERNAH ADA ‘LAPANGAN TERBANG’?