Sorting by

×

LEGENDA BIPANG, KUIH BAKUL TIGA GENERASI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 13 Mei – Tradisi menghasilkan kuih bipang dan kuih bakul setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina terus dipelihara di Kampung Baru Pondok Batang sebagai warisan turun-temurun keluarga.

Chong Fong Lan, 56, berkata, kuih tradisional itu bukan sahaja untuk dijual secara kecil-kecilan malah turut diagihkan kepada saudara-mara sebagai simbol eratnya hubungan kekeluargaan secara turun-temurun.

Katanya, proses menghasilkan kuih bipang atau dikenali sebagai ‘me chang’ dan kuih bakul memerlukan kesabaran serta kemahiran, terutama dalam memastikan tekstur dan rasa kekal asli seperti yang diamalkan nenek moyangnya.

“Memang setiap kali tiba musim perayaan, saya dibantu kakak akan membuat dua kuih ini lebih awal kerana proses pembuatannya yang agak kompleks, selain bagi memenuhi permintaan.

“Ia sudah menjadi tradisi sejak dahulu lagi dan saya hanya meneruskan apa yang telah diajar oleh orang tua dahulu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Fong Lan berkata sambutan terhadap kuih tradisional itu masih menggalakkan kerana ramai yang menghargai keenakan rasa asli serta nilai nostalgia yang dibawa.

“Kuih bipang dan kuih bakul Kampung Baru Pondok Batang memang sudah dikenali di luar Melaka, ramai yang mengharapkan kita untuk menjual tapi saya tidak mahu kerana menganggap resepi kuih ini sangat istimewa.

“Selain menjadi sumber pendapatan sampingan, usaha ini juga adalah cara saya mengekalkan identiti budaya dan tradisi kuih warisan ini agar tidak lapuk ditelan zaman.

“Saya berharap tradisi pembuatan kuih bipang dan kuih bakul ini dapat diteruskan generasi muda supaya warisan masyarakat Cina ini di kampung ini terus bernyawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post PUSAT KOMUNITI ‘NADI’ BAHARU PENDUDUK DESA DUYONG