Sorting by

×

‘ALHAMDULILLAH AIDILADHA TAHUN INI KAMI BERAYA DI RUMAH BAHARU’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER MOLEK 9 Mei – Sambutan Aidiladha bagi dua warga emas ini tidak lama lagi pastinya akan diraikan dalam suasana baharu dan lebih ceria selepas kediaman mereka yang dahulunya uzur kini berwajah baharu.

Kediaman tempat berteduh warga emas berkenaan kelihatan lebih kukuh selepas selesai dibaik pulih dan dicat semula menerusi Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Inisiatif itu dilihat sebagai usaha berterusan MBMB dalam membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk khususnya golongan kurang berkemampuan melalui penyediaan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Program membabitkan kos keseluruhan RM26,000 bagi kedua-dua rumah itu dilaksanakan menerusi inisiatif baik pulih kediaman bagi membantu golongan memerlukan yang tinggal di rumah uzur dan kurang selamat didiami.

Penerima bantuan Ab Rahman Mohd, 73, meluahkan rasa terharu kerana inisiatif dilaksanakan MBMB amat bermakna buat dirinya dan isteri, Siti Aisyah Hussin, 73, sebelum ini agak tidak selesa kerana mendiami rumah dengan bumbung bocor.

“Alhamdulillah, syukur dan terima kasih kepada MBMB dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman yang menunjukkan keprihatinan kerana membantu baik pulih rumah kami.

“Sekarang rumah lebih selesa dan selamat untuk didiami, setiap kali hujan tidak perlu lagi tadah baldi. Syukur sangat rumah berwajah baharu, Aidiladha tahun ini pastinya lebih bermakna kerana dapat berkumpul bersama keluarga dalam suasana rumah lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6334350233982144445
SAEMIN dan isteri Misnah Kasri, kelihatan ceria ketika menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bagi melawat kediaman mereka di Kampung Tambak Paya yang baharu selesai dibaik pulih menerusi Program Bandaraya Penyayang MBMB sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Molek. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu warga emas di Kampung Tambak Paya, Saemin Mogin, 86, dan isteri Misnah Kasri, 75, kelihatan amat gembira apabila melihat rumahnya yang berusia 61 tahun kembali kukuh selepas kerja-kerja baik pulih selesai.

Katanya, bantuan baik pulih itu bukan sahaja meringankan beban kewangan malah memberi kegembiraan buat ahli keluarga yang bakal pulang menyambut Aidiladha nanti.

“Sebelum ini ada bahagian rumah yang rosak dan membimbangkan terutama apabila hujan, ada juga kawasan dinding kayu yang telah reput, namun kini semuanya lebih baik dan kemas, syukur terima kasih MBMB.

“Bila rumah sudah cantik, isteri saya berseloroh katanya raya (Aidiladha) ini dengan rumah baharu, Alhamdulillah,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post DARI KAMPUNG ORANG ASLI MASUK DUNIA ‘FYP’
Next post BUNGA DAN LEBAH TERAPI RUBIAH