
DARI KAMPUNG ORANG ASLI MASUK DUNIA ‘FYP’
MACHAP JAYA 9 Mei – Tinggal di sebuah kampung yang terpencil di tengah ladang kelapa sawit tidak menghalang seorang wanita dari Kampung Orang Asli (KOA) Machap Umboo ini terus berjinak-jinak dalam dunia kandungan digital.
Adlyn Jeffson, 29, sama sekali tidak menyangka niatnya berkongsi kisah kehidupan masyarakat Orang Asli kepada tatapan umum melalui kandungan digital di platform TikTok mencuri tumpuan ramai sehingga tular di alam maya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia mula menceburkan diri dalam dunia kandungan digital sejak dua tahun lalu sebelum beberapa daripadanya ‘FYP’ dan mendapat banyak perkongsian semula.
“Saya cuma nak orang luar kenal kehidupan kami, itu sahaja kerana tidak semua faham budaya Orang Asli.
“Contohnya apabila saya kongsikan tentang makanan kami, orang luar anggap ia eksotik dan terus tertarik menonton,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah Adlyn, kandungan disiarkan juga bertujuan memberi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang lain agar terus mementingkan pendidikan dan tidak pernah putus asa dalam mengejar ilmu.
Besar harapannya mahu melebih ramai remaja dari Kampung Orang Asli Machap Jaya berjaya menjejakkan kaki ke peringkat universiti, seterusnya mendapat pekerjaan yang lebih terjamin.
“Di sini kami nak buktikan yang Orang Asli bukan duduk hutan sahaja tetapi ramai juga yang berpelajaran dan berjaya,” ujarnya yang menggunakan nama TikTok: Adlynjeffs2 mempunyai ribuan pengikut dengan ratusan ribu tanda suka (likes).
Adlyn Jeffson merupakan salah seorang penerima Anugerah Ikon Machap Jaya sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya yang berlangsung 19 hingga 25 April.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


