Sorting by

×

AHMAD ‘SAKSI’ KEMAJUAN KAMPUNG ORANG ASLI AIR DUSUN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MACHAP JAYA 13 Mei – Penyediaan infrastruktur mengikut keperluan dan kesesuaian semasa menjadikan kehidupan penduduk di Kampung Orang Asli Air Dusun tidak pernah terasing daripada kemajuan dunia luar.

Tok Batin Kampung Orang Asli Air Dusun Ahmad Saleh, 65, berkata, apa yang dinikmati masyarakat Orang Asli dikampungnya itu antara komitmen berterusan Kerajaan Negeri khususnya.

Katanya, lebih 40 tahun diberi mandat menjadi tok batin beliau menyaksikan sendiri pelbagai perubahan dibawa memberi manfaat kepada 45 keluarga dengan kira-kira 130 penduduk di kampung itu.

“Kualiti kehidupan kami tidak jauh berbeza dengan dunia luar, rumah sudah ada bekalan elektrik dan sambungan paip membekalkan air bersih, kedua-dua ini menjadi satu keperluan bagi setiap keluarga.

“Kalau aspek jalan raya pula sudah dinaik taraf dan amat selesa, malah tahap keselamatan ditingkatkan dengan pemasangan lampu jalan, jadi pergerakan kami tidak terbatas meskipun pada waktu malam.

“Cuma buat masa ini kami minta supaya dapat disediakan taman permainan untuk anak-anak beriadah pada waktu petang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ahmad, penganjuran program berskala agak besar juga tidak menjadi masalah kerana kampung berkenaan juga sudah memiliki kemudahan balai raya yang mampu menampung jumlah penduduk yang ada.

Dia berkata, meskipun menikmati pelbagai kemajuan, arus kemodenan tidak menghakis identiti mereka sebagai Orang Asli kerana ramai yang masih mempertahankan tradisi dan cara hidup asal nenek moyang mereka.

“Antara masih dipertahankan ketika ini adalah dua rumah yang mengekalkan keaslian seni bina orang Asli. Dindingnya pula masih menggunakan kulit kayu dengan atap nipah.

“Kalau hendak aspek gaya hidup sihat pula kampung kami ada gelanggang takraw yang menjadi tumpuan orang muda beriadah terutamanya pada waktu petang,” katanya.

Ahmad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem turut memainkan peranan utama dalam memastikan penempatan berkenaan dilengkapi dengan semua kemudahan asas bagi menjamin keselesaan penduduk.

“Beliau amat disengani semua penduduk, kalau musim perayaan dia akan masuk kampung untuk sampaikan sumbangan dan duit raya.

“Kemesraannya bukan dibuat-buat selain mudah didekati, semua ciri ini menyebabkan kami amat senang untuk berurusan atau meluangkan sebarang permasalahan kepada beliau,” katanya.

Jelasnya, meskipun turut mempunyai penduduk beragama Islam namun masyarakat di kampung itu hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Di sini kami hidup dalam suasana harmoni, perbezaan agama bukan penghalang malah ada diantara anak saya yang memeluk Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post LEGENDA BIPANG, KUIH BAKUL TIGA GENERASI