Sorting by

×

NOSTALGIA ‘RUMAH DALAM AIR’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MACHAP JAYA 17 Mei – Di bawah hamparan Empangan Durian Tunggal yang kelihatan damai, tersimpan sebuah sejarah yang tidak semua orang tahu.

Sebuah penempatan lama yang pernah hidup dan berdenyut dengan kehidupan masyarakatnya, kini hanya tinggal bayang-bayang di bawah air.

Perkara itu dikongsikan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Pasir, Amran Haron yang membuat pendedahan mengenai kewujudan sebuah penempatan sekitar Masjid Lama Machap sebelum ia ditenggelami air bagi membina Kawasan tadahan.

Kata Amran, peristiwa bersejarah itu berlaku sekitar tahun 1960-an apabila Kerajaan Negeri menjadikan perkampungan sekitar yang mempunyai seramai kira-kira 100 orang penduduk sebagai kawasan tadahan air atau kini dipanggil Empangan Durian Tunggal.

“Bukan sahaja penempatan tetapi dahulunya sini adalah laluan jalan raya utama penduduk dari Batang Melaka, Selandar dan sekitarnya ke Melaka.

“Disebabkan itu terdapat masjid tunggal di sini sebagai bukti peninggalan sejarah bahawa memang wujud penempatan.

“Penduduk pula di sini terdiri daripada Melayu dan Cina. Mereka hidup secara harmoni sehinggalah masing-masing perlu akur untuk memberi laluan kepada pembinaan Empangan Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ditanya lebih lanjut mengenai peninggalan sejarah penempatan di sini, kata Amran, memang terdapat banyak bahan bukti misalnya rangka bumbung yang dahulunya merupakan dewan makan penduduk dan anak tangga di tebing kaki bukit.

Menceritakan kembali, katanya, sekitar tahun 80-an, pernah berlaku kejadian air empangan itu surut, lalu kesemua ‘saksi bisu’ ini menampakkan diri dan disaksikan penduduk ketika itu.

“Mereka (penduduk) ketika itu macam terkejut apabila lihat wajah sebenar di sebalik empangan itu seperti dua bucu bumbung yang sebelum ini ditutupi dengan air, dasar tanah, selain kemunculan anak tangga batu sekitar tebing.

“Apabila generasi baharu ini bertanya, kita ceritalah bahawa di sini dahulu ada ‘Gerbang Cina’ telah ditelenggami air sehinggalah ke tangga yang dibina menggunakan ‘batu kaki’ untuk menaiki masjid ini,” katanya.

Kesimpulannya, kampung dalam air bukanlah sebuah cerita dongeng, namun ia adalah warisan dan simbol sebuah pengorbanan pernah dilalui nenek moyang terdahulu sehinggalah kemajuannya diwarisi generasi masa kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post ‘QR TAGGING’ LEMBU, KERBAU BANTU TANGANI KES HAIWAN BERKELIARAN DI JASIN – MPJ