
589 ‘KANTOI’ BUANG SAMPAH DI MELAKA, 17 KENA PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT
AYER KEROH 16 Mei – Sebanyak 589 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil merata-rata sekitar di negeri ini sejak operasi penguatkuasaan dipergiat bermula Januari sehingga semalam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 39 kes sedang dalam proses mahkamah.
Selain itu, setakat ini ujarnya, seramai 17 individu telah dijatuhkan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dan majoriti kesalahan membabitkan pembuangan puntung rokok.
“Kita pasti jumlah ini akan meningkat, namun kita harapkan kesedaran orang ramai terhadap kesalahan membuang sampah kecil merata-rata ini diberi penekanan.
“Buat perokok pula, saya nasihatkan untuk tahu tempat atau lokasi yang dibenarkan untuk menghisap rokok seterusnya membuang puntung dalam tong sampah, jangan buang merata-rata jika tidak mahu didenda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) Sempena Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Pengarah Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan tahap kebersihan di negeri ini sentiasa di tahap terbaik, selari dengan misi menjadikan Melaka sebagai lokasi pelancongan yang selesa.
“Saya harap isu kebersihan ini dapat dijaga bersama-sama apabila semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing.
“Kita tidak mahu rakyat mahu pun pelancong yang datang ke Melaka dikenakan tindakan undang-undang akibat kesalahan kebersihan yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

