Sorting by

×

MELAKA MILIKI 4 KEMUDAHAN FARMASI PANDU LALU

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MERLIMAU 16 Mei – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka terus memperkasakan perkhidmatan kesihatan awam apabila memperluaskan Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu di Klinik Kesihatan (KK) Merlimau bagi memudahkan urusan pesakit mengambil bekalan ubat-ubatan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perkhidmatan diperkenalkan di bawah Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (Value Added Services-VAS) itu membolehkan pesakit mendapatkan ubat tanpa perlu turun daripada kenderaan, sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi.

Jelas beliau, Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu di KK Merlimau adalah yang keempat di negeri ini selepas projek rintis dilaksanakan di Hospital Melaka pada Jun 2011 sebelum diperluas ke KK Masjid Tanah pada 2020 diikuti KK Umbai pada awal tahun ini.

“Objektif pelaksanaan perkhidmatan ini adalah untuk meningkatkan aksesibiliti pesakit terhadap bekalan ubat susulan selain mempercepatkan tempoh menunggu di klinik kesihatan.

“Selain perhidmatan yang amat menggalakkan, perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu ini juga membantu memudahkan urusan pesakit mendapatkan bekalan ubatan susulan tanpa perlu menunggu lama di kaunter farmasi dan mengelakkan berlaku kepadatan di premis kesihatan,” katanya,

Terdahulu beliau merasmikan Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu KK Merlimau, di sini, semalam.

Menurut Hee Sem, sepanjang tahun lalu, statistik bekalan ubat di Negeri Melaka merekodkan sebanyak 936,067 ubat susulan telah dibekalkan kepada pesakit dan daripada jumlah itu 19.36 peratus atau 181,268 daripadanya menggunakan perkhidmatan VAS yang disediakan fasiliti kesihatan.

“Daripada jumlah ubat susulan VAS, sebanyak 68,455 atau 35.5 peratus pula diperoleh menerusi Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu yang ketika itu hanya ditawarkan di Hospital Melaka dan KK Masjid Tanah.

“Manakala bagi KK Umbai pula, sejak mula beroperasi pada Januari lalu ia telah merekodkan sebanyak 1,947 bekalan ubat susulan kepada pesakit.

“KK Merlimau yang mula beroperasi pada April lalu pula menyaksikan perkhidmatan farmasi pandu lalu telah memberi manfaat kepada 121 pesakit setakat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post INISIATIF MBMB BANTU KURANGKAN 1.1 JUTA KILOGRAM KARBON DIOKSIDA