Sorting by

×

HARI MUZIUM ANTARABANGSA: PERZIM TAWAR POTONGAN TIKET 30 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Orang ramai berpeluang menikmati potongan harga tiket masuk sebanyak 30 peratus untuk masuk ke muzium terpilih kendalian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 pada 17 Mei (esok).

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, tawaran itu melibatkan tiket dewasa bagi pemegang MyKad dan bukan MyKad sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pengunjung mendekati sejarah serta warisan negeri Melaka.

Menurutnya, tawaran itu melibatkan Kompleks Muzium Sejarah dan Etnografi, Kompleks Muzium Samudera, Muzium Hang Tuah, Muzium Kapal Selam dan Muzium Istana Kesultanan Melaka.

“Sempena Hari Muzium Antarabangsa 2026, pengunjung boleh menikmati potongan harga 30 peratus bagi tiket kemasukan dewasa ke muzium-muzium terpilih di bawah pengurusan PERZIM.

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menerokai sejarah, warisan dan budaya Melaka di muzium-muzium ikonik ini,” katanya.

Katanya, selain tawaran diskaun pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Muzium Sejarah dan Etnografi (Stadthuys), Banda Hilir bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari sama.

“Antara aktiviti disediakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi makanan tradisional, demonstrasi permainan tradisional, permainan pendidikan MR DIY, aktiviti reka dan cetak “Setemku” serta kuiz dan cabutan bertuah.

“Sambutan ini diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat terutama golongan muda mendekati sejarah dan budaya dalam suasana santai serta interaktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

179
Kongsi :
Previous post MELAKA MILIKI 4 KEMUDAHAN FARMASI PANDU LALU