Sorting by

×

MELAKA NEGERI PERTAMA PERKENAL ‘KAD PENGENALAN’ LEMBU, KERBAU

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MERLIMAU 16 Mei – Melaka muncul negeri pertama di Malaysia memperkenalkan identiti digital yang berfungsi seakan kad pengenalan bagi lembu dan kerbau ternakan.

Menerusi inisiatif tersebut, semua lembu dan kerbau ternakan di negeri ini diwajibkan untuk memiliki ‘tagging’ pada telinga yang dilengkapi kod respon pantas (QR).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi tanda pengenalan digital itu ia membolehkan pelbagai maklumat seperti pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan ternakan dikenal pasti dengan lebih mudah dan pantas.

Jelas beliau, ia sekali gus memacu transformasi pintar kepada sektor penternakan yang membuka ruang kepada pembangunan pangkalan data ternakan negeri secara bersepadu, sekali gus menyokong penggunaan analitik data dan teknologi pintar dalam sektor penternakan pada masa hadapan.

“Dengan inisiatif ini, kita bakal mengubah kaedah pengurusan ternakan dengan cara lama kepada satu sistem kawalan dan pengurusan data ternakan yang lebih baik dan terancang.

“Jadi, ia menyaksikan Melaka menjadi negeri perintis kepada kaedah baharu ini dan diharap negeri ini dapat menjadi rujukan kepada sistem penternakan di peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, selain mentransformasi sektor penternakan, pengenalan ‘tagging’ di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Haiwan Ternakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2026 itu juga dapat membantu mengesan pemilik haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya dan meragut nyawa.

“QR Tagging Haiwan Ternakan ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penternak agar lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan ternakan masing-masing.

“Pada masa sama, ia juga dapat membantu dalam mengesan kes-kes kecurian haiwan ternakan memandangkan ‘tagging’ yang diperkenalkan ini berkualiti tinggi dan dapat memudahkan pengesanan menerusi pangkalan data yang dibangunkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post HARI MUZIUM ANTARABANGSA: PERZIM TAWAR POTONGAN TIKET 30 PERATUS