Sorting by

×

‘JURUTERA HUTAN’ PENYERI ZOO MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Beruang matahari yang merupakan spesies beruang paling kecil di dunia memiliki pelbagai keunikan yang mungkin tidak diketahui ramai.

Di Zoo Melaka, terdapat lima ekor beruang matahari yang merupakan sebuah keluarga terdiri daripada bapa, ibu dan anak sering menjadi antara tarikan utama dek kerana ragam mereka yang sentiasa mencuit hati.

Menurut penjaga haiwan Zoo Melaka, bapa beruang matahari di taman haiwan itu dinamakan Sinu, manakala Banu merupakan si ibu dan kedua-dua spesies itu memiliki tiga anak yang dinamakan Rocky, Reo dan Reona.

Katanya, setiap daripada haiwan itu memiliki tabiat unik, antaranya Sinu yang gemar dimandikan penjaganya, manakala si anak Reona pula terkenal dengan kenakalan dek kerana gemar merampas makanan daripada mulut ibunya.

Tambah penjaganya, beruang comel itu mendapat namanya, kerana mempunyai tanda berbentuk huruf ‘V’ seolah-olah matahari terbit berwarna kekuningan di dada mereka, yang menyerupai sinar matahari.

Katanya, walaupun bersaiz dua kali lebih kecil berbanding beruang polar yang merupakan spesies terbesar, namun beruang matahari tetap mempunyai keunikan antaranya memiliki kemahiran memanjat pokok.

“Beruang matahari merupakan pemanjat yang sangat hebat dan mampu memanjat pokok setinggi kira-kira 12 meter atau bersamaan bangunan 10 tingkat untuk sampai ke kanopi hutan.

“Memiliki kuku melengkung seperti sabit, tapak kaki tanpa bulu dan tubuh kecil menjadikan haiwan ini cekap memanjat selain mudah bergerak di celah pokok.

“Kemahiran ini penting kerana sumber makanan utamanya adalah seperti buah-buahan, madu dan serangga kebanyakannya berada di pokok tinggi,” katanya.

Selain itu, beruang matahari turut digelar ‘jurutera hutan’ kerana peranan pentingnya dalam menjaga ekosistem hutan, contohnya, di samping menggali pokok untuk mencari makanan seperti serangga, ia juga turut mencipta lubang untuk rumah haiwan yang lain.

Pada masa sama, spesies yang turut dikenali sebagai beruang madu ini turut membantu hutan terus subur menerusi penyebaran biji benih daripada buah yang dimakannya.

Namun kini, populasi beruang matahari dilaporkan menurun kira-kira 30 peratus dalam tempoh 30 tahun, sekali gus menjadikan haiwan ini sebagai antara spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Ia disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya penebangan hutan, penanaman sawit, kebakaran hutan, selain ancaman pemburu haiwan bagi tujuan pemerdagangan.

Bersempena sambutan Hari Beruang Matahari Antarabangsa (International Sun Bear Day) pada tanggal 16 Mei, Zoo Melaka komited mempromosikan usaha konservasi beruang matahari menerusi penjagaan, pendidikan dan program pemuliharaan berterusan.

Jom jadi sebahagian daripada usaha ini menerusi sumbangan dan pelbagai inisiatif lain yang disediakan. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pemasaran Zoo Melaka di talian 018-2609063 / 011-12852789.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post TEATER AMAL: MANEK SULAMKAN SI-AYER MATA BANTU KUMPUL DANA BANTU ASNAF